Wakaf Pahang

Latar Belakang

Saham Wakaf Pahang

Pada Disember 1998, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang menubuhkan satu unit yang dikenali sebagai Saham Wakaf Pahang bagi menguruskan urusan wakaf di Negeri Pahang. Punca kuasa adalah berlandaskan Seksyen 70-80 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991. Bagi melicinkan perjalanan Saham Wakaf Pahang, satu Kaedah diwujudkan iaitu Kaedah-Kaedah Saham Wakaf Pahang 1998.

1998

Dana Wakaf Pahang

Pada Jun 2015, pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Redam Melayu Pahang telah menambah baik Kaedah-Kaedah Saham Wakaf Pahang 1998 dengan Kaedah yang baru iaitu Kaedah-Kaedah Dana Wakaf 2015. Unit Saham Wakaf Pahang juga telah ditukar nama kepada Dana Wakaf Pahang. Ia telah disempurnakan pelancarannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang pada 17 Jun 2015.Bagi mengawal perjalanan Dana Wakaf Pahang, satu Jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Wakaf majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telahpun ditubuhkan.

2015

Wakaf Pahang

Pada tahun 2020, di dalam Mesyuarat Penuh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam melayu Pahang kali Ke-180 yang bersidang pada 5 Ogos 2020 telah memutuskan supaya operasi Dana Wakaf Pahang dikeluarkan atau diasingkan daripada pentadbiran Majlis Ugama Islam Pahang dan diuruskan oleh Pusat Kutipan Zakat Pahang sehingga tertubuhnya entiti baru bagi Wakaf Pahang. Kini, Dana Wakaf Pahang dikenali sebagai Wakaf Pahang.

2021

KONSEP DANA WAKAF PAHANG

Dana Wakaf Pahang adalah satu skim yang menggalakkan orang ramai menyumbangkan sedekah jariah (wakaf) untuk selama-lamanya kerana Allah S.W.T pada nilai minimum RM5.00 dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan umat Islam. Sesiapa sahaja yang beragama Islam boleh menyertai skim ini. Skim Dana Wakaf ini, memudahkan umat Islam untuk mewakafkan harta. Sumbangan dana wakaf yang terkumpul akan disatukan dan dijadikan modal untuk membeli harta kekal seperti tanah, bangunan dan sebagainya.