BENTONG, 3 Mac 2026 – Satu lawatan ke tapak projek pembinaan Kompleks Anjung Husnul Khatimah di Kampung Lebu, Bentong telah diadakan pada 3 Mac 2026 bagi meninjau perkembangan semasa pembinaan kompleks tersebut.
Lawatan ini diwakili oleh pihak Wakaf Pahang yang dihadiri oleh Dr Mohd Syakir bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Pengurus Wakaf Pahang, bersama Ustaz Muhammad Fariduddin bin Mohd Salleh dari Unit Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang.
Turut hadir mewakili pihak pengurusan kompleks ialah Dato’ Dr Hasan Ali bersama beberapa ahli jawatankuasa pembangunan Kompleks Anjung Husnul Khatimah.
Dalam sesi lawatan dan perbincangan tersebut, pihak jawatankuasa pembangunan memaklumkan bahawa projek pembinaan kompleks berkenaan kini telah mencapai kira-kira 80 peratus tahap siap. Kompleks ini dijangka akan dibuka dan mula beroperasi pada bulan Jun 2026, tertakluk kepada penyempurnaan kerja-kerja akhir pembinaan.

Dalam ucapannya, Dato’ Dr Hasan Ali turut menyeru agar semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat umum dapat bersama-sama memainkan peranan dalam menyumbang dan menyokong pembangunan projek ini.
Pihak Wakaf Pahang menyambut baik perkembangan positif projek ini dan berharap kerjasama strategik antara pelbagai pihak dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan objektif penubuhan kompleks ini dapat direalisasikan sebagai sebuah kompleks pengajian warga emas moden yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ummah.