KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Pembangunan Wakaf Kesihatan di Pekan menerusi peruntukan Kementerian Ekonomi berjumlah RM6 juta menjadi antara tumpuan sesi Perbincangan Strategik Wakaf Irsod Negeri Pahang yang diadakan di sini.
Sesi tersebut melibatkan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdi bin Wan Ismail bersama Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, YH Dato’ Sri Ahmad Fuad bin Kenali, yang juga Ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang serta Ahli Jawatankuasa Wakaf Pahang.
Pertemuan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan wakaf di negeri ini, khususnya dalam menyediakan kemudahan kesihatan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Turut dibincangkan ialah cadangan penganjuran Seminar Wakaf Irsod Negeri Pahang sebagai platform memperluas kefahaman mengenai wakaf irsod, menyelaras hala tuju pembangunan serta memperkukuh kerjasama antara pihak yang terlibat.
Seminar tersebut dicadangkan bagi menghimpunkan Kerajaan Negeri, institusi agama, agensi berkaitan dan pemegang taruh strategik untuk menyokong pembangunan aset wakaf secara terancang dan mampan.
Perbincangan ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasa wakaf irsod sebagai instrumen pembangunan Negeri Pahang, dengan penekanan kepada pemanfaatan aset wakaf bagi memenuhi keperluan masyarakat.