Kuantan, 3 Mac 2026 – Program Ihya’ Ramadan Negeri Pahang telah berlangsung dengan meriah di Padang MBK 1, Kuantan pada 3 Mac 2026. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sebagai salah satu usaha menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan dalam kalangan masyarakat.
Antara pengisian utama program tersebut ialah sesi tazkirah Ramadan yang telah disampaikan oleh YBhg. Dr. Syakir Bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang. Dalam tazkirah beliau, Dr. Syakir menekankan kepentingan umat Islam memperbanyakkan amalan sedekah, zakat dan wakaf khususnya pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Beliau menjelaskan bahawa amalan sedekah dan zakat bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah mampu menyucikan harta serta menyuburkan sifat kasih sayang dalam masyarakat. Selain itu, wakaf juga merupakan satu bentuk amal jariah yang berpanjangan pahalanya, bahkan manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat dalam tempoh yang lama.
Dalam masa yang sama, pasukan Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang turut mengadakan aktiviti edaran risalah (flyers) wakaf kepada para pengunjung yang hadir. Edaran tersebut bertujuan memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kepentingan berwakaf serta menggalakkan masyarakat mengambil peluang berwakaf pada bulan Ramadan yang menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda.
Program Ihya’ Ramadan ini berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat yang hadir bagi mengimarahkan bulan yang mulia dengan pengisian ilmu, ibadah dan aktiviti kebajikan. Diharapkan usaha sebegini dapat terus memupuk kesedaran umat Islam tentang kepentingan amalan sedekah, zakat dan wakaf sebagai sebahagian daripada gaya hidup beramal dalam Islam.