KUANTAN, 9 September 2025 – Unit Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang meneruskan usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan wakaf melalui sesi taklimat khas yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Lumpur hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Fariduddin bin Mohd Salleh, Pegawai Unit Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang. Beliau menerangkan konsep asas wakaf, kelebihannya dalam kehidupan umat Islam, serta peluang untuk berwakaf melalui potongan gaji bulanan.

Program ini turut menjadi medium penting untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif dan projek Wakaf Pahang yang memberi manfaat dalam bidang keagamaan, pendidikan dan kebajikan masyarakat di seluruh negeri.

Menurut Ustaz Muhammad Fariduddin, amalan berwakaf merupakan satu bentuk amal jariah yang paling bernilai kerana pahalanya terus mengalir walaupun selepas seseorang meninggal dunia. Justeru, budaya wakaf perlu dipupuk di semua peringkat termasuk dalam kalangan warga sekolah agar menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Islam masa kini.