Bentong, 6 Ogos 2024 – Bengkel Garis Panduan Pengurusan dan Pembangunan Masjid/Surau di negeri Pahang berjaya diadakan dengan jayanya dari 4 hingga 6 Ogos 2024 di Suria Hotspring, Bentong. Program ini dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan melibatkan pelbagai agensi penting seperti Wakaf Pahang, Majlis Perbandaran Temerloh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang (Temerloh), Jabatan Agama Islam Pahang serta Jabatan Kerja Raya Pahang.
Bengkel ini bertujuan untuk menyediakan garis panduan yang komprehensif dan sistematik dalam aspek pengurusan dan pembangunan masjid/surau di negeri Pahang. Dalam usaha untuk memastikan keseragaman dan kecekapan, bengkel ini telah mengumpulkan pelbagai pandangan dan cadangan daripada wakil-wakil agensi yang terlibat.
Sepanjang bengkel, pelbagai isu berkaitan pembangunan dan pengurusan masjid dan surau telah dibincangkan, termasuk aspek keselamatan, perancangan, dan pematuhan kepada garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Di samping itu, Wakaf Pahang turut memainkan peranan penting dengan menyediakan panduan berkaitan penggunaan dana wakaf dalam pembangunan masjid dan surau serta perkara-perkara berkaitan Pembangunan masjid/surau diatas tanah wakaf.
Program ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada pembangunan dan pengurusan masjid dan surau yang lebih sistematik dan tersusun di negeri Pahang dan seterusnya memastikan masjid dan surau dapat berfungsi dengan baik sebagai pusat komuniti dan ibadah yang selamat serta kondusif.