Kuantan, 31 Oktober 2025 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini menerima sumbangan wakaf Screen Paparan LED daripada MUIP Plantation Sdn. Bhd. bagi tujuan pendidikan dan kemudahan pengajaran di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).
Majlis penyerahan wakaf tersebut disempurnakan oleh Dato’ Sri Md Sharif bin Shamsuddin, Pengerusi MUIP Plantation, yang menyerahkan wakaf kepada MUIP. Bagi pihak MUIP, wakaf tersebut diterima oleh Ybrs Dr. Asmadi Abd Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP.
Penyerahan wakaf tersebut disaksikan oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Bin Zainal Abidin. Turut hadir menyerikan majlis serahan wakaf adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZW) YBrs. Dr. Mohd Azmi Othman dan Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang Dr. Mohd Syakir bin Dato Hj. Mohd Taib.
Sumbangan wakaf Screen Paparan LED ini akan dimanfaatkan oleh para pelajar UniPSAS untuk tujuan pembelajaran, program ilmiah dan aktiviti universiti. Selain itu, kemudahan ini juga akan digunakan untuk tujuan sewaan bagi menjana hasil wakaf berterusan, seiring dengan matlamat Wakaf Pahang untuk mengoptimumkan manfaat setiap harta wakaf demi pembangunan pendidikan dan ekonomi ummah.
Dalam ucapannya, Prof Dato Dr Mohd Zawavi merakamkan penghargaan kepada MUIP Plantation atas sumbangan wakaf tersebut yang menjadi contoh sinergi antara anak syarikat MUIP dan institusi pendidikan Islam negeri. Beliau turut menyeru lebih banyak pihak korporat, syarikat GLC, swasta dan individu agar mencontohi langkah ini dalam memperkukuh ekosistem wakaf di Pahang seterusnya menikmati Pengecualian cukai sehingga 10% bagi wakaf
Sumbangan Wakaf ini juga selaras dengan visi Wakaf Pahang untuk memperluas peranan wakaf sebagai sumber pembangunan lestari dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui keagamaan, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial di negeri Pahang





