KUANTAN, 5 APRIL 2024 – Seorang ahli jemaah Masjid Al Muhajirin Indera Mahkota 5 menjadikan malam 26 Ramadhan 1445H sebagai malam bersejarah buat dirinya kerana telah mewakafkan tanah seluas hampir 3 ekar yang terletak di Kg. Pandan. Peristiwa penting ini berlaku lanjutan dari pada penerangan yang dilakukan oleh Wakaf Pahang di masjid berkenaan sempena Jelajah Wakaf Pahang seminggu menjelang Ramadhan.
Pewakaf tersebut, Ustaz Dahari bin Ahmad, menyatakan keyakinannya untuk berwakaf kepada Majlis Ugama Islam seperti yang dijelaskan oleh Wakaf Pahanglah yang mendorongnya mewakafkan tanah tersebut. Sementara itu, instrumen perlantikan mutawalli merupakan penyelesaian bagaimana untuk membangun dan mengendalikan maahad tahfiz yang dicadangkan.
Majlis yang sangat bermakna ini turut dihadiri oleh Pengerusi Masjid Al Muhajirin, Dato’ Idros Yahya, serta wakil dari Maahad Tahfiz Ismailiyyah bagi memulakan pembangunan maahad tahfiz tersebut. Pewakaf tanah tersebut juga telah memulakan wakaf wang tunai sebayak RM 500 ribu untuk allahyarhamah isterinya dan diserahkan kepada Wakaf Pahang.
Dalam penerangan ringkasnya, Dato’ Haji Halidan mengucapkan syabas kepada pewakaf tanah serta ahli qariah yang berwakaf pada malam ini disamping memanjatkan doa semoga wakaf yang dilaksanakan ini mendapat sebaik-baik ganjaran di sisi Allah swt. Beliau turut menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh ahli jemaah Masjid Al Muhajirin pada malam ini merupakan gambaran tentang bagaimana wakaf akan menjadi satu kekuatan yang penting dari sudut menyediakan prasarana dan kemudahan untuk masyarakat di negeri Pahang selain daripada memberi manfaat yang berpanjangan kepada pewakaf sendiri. Apa yang dilaksanakan ini seharusnya menjadi contoh kepada kepada segenap lapisan masyarakat di mana jua di negeri ini. Sementara itu Wakaf Pahang pula harus berusaha merancakkan lagi program-program penerangannya supaya masyarakat mendapat peluang dan mengetahui cara-cara untuk berwakaf.