Diskusi dan Serahan Dana Wakaf di Majlis Lama Muadzam Shah

MUADZAM SHAH, 24 MEI 2024 – Satu majlis bersejarah telah berlangsung di Majlis Lama Muadzam Shah hari ini, di mana diskusi mengenai wakaf dan serahan dana wakaf telah dianjurkan dengan jayanya. Majlis ini menyaksikan penglibatan aktif komuniti setempat dalam memahami kepentingan wakaf serta penggunaan dana wakaf bagi tujuan pembangunan masyarakat.

Acara ini dimulakan dengan serahan dana wakaf yang disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Timbalan Yang Dipertua MUIP. Dalam upacara yang penuh dengan semangat kebersamaan ini, YAM TPR telah menyerahkan dana wakaf kepada dua masjid utama di daerah ini, iaitu Masjid At Taqwa Kg Chenderawasih dan Masjid Lama Muadzam Shah. Dana wakaf yang diserahkan diharapkan dapat digunakan untuk pembaikan dan peningkatan kemudahan di kedua-dua masjid tersebut, sekali gus memanfaatkan para jemaah dan komuniti setempat.

Serahan dana wakaf ini merupakan inisiatif penting dalam usaha memastikan keberlangsungan fungsi masjid sebagai pusat ibadah dan kegiatan masyarakat. YAM TPR dalam ucapannya mengharapkan agar dana yang diserahkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menyeru agar lebih ramai individu dan organisasi tampil untuk berwakaf demi kesejahteraan ummah.

Kemuncak majlis ini adalah sesi diskusi yang dikendalikan oleh moderator, Ustaz Farid Ramly. Panel diskusi terdiri daripada dua pakar dalam bidang wakaf, iaitu Dr. Syakir dan Ustaz Uwais. Diskusi ini memberi tumpuan kepada konsep wakaf, manfaatnya kepada masyarakat, dan cara-cara pengurusan dana wakaf yang efektif. Dr. Syakir dalam pembentangannya menekankan pentingnya transparansi dalam pengurusan dana wakaf untuk memastikan ia digunakan sepenuhnya bagi tujuan yang diamanahkan. Ustaz Uwais pula menekankan aspek keagamaan dan keberkatan dalam berwakaf, serta bagaimana wakaf boleh menjadi aset kepada pembangunan komuniti Islam secara keseluruhannya.

Majlis ini berakhir dengan sesi bergambar dan jamuan ringan, di mana para hadirin berpeluang untuk berinteraksi dan bertukar pandangan mengenai usaha-usaha wakaf yang boleh dijalankan di masa hadapan.