KUANTAN, 26 JULAI 2024 – Dalam usaha berterusan, Wakaf Pahang mengadakan satu diskusi wakaf bertajuk “Membina Mahligai Syurga” yang diadakan di Masjid Bukit Rangin. Diskusi ini bertujuan memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai harta wakaf serta menyemarakkan semangat untuk menyumbang kepada kepentingan ummah.
Diskusi ini menampilkan dua panelis iaitu YH Dato Hj Halidan Bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat & Wakaf Pahang, dan Ustaz Mohd Farid Bin Mohd Ramly, Ketua Bahagian Dakwah & Pemasaran Wakaf Pahang.
YH Dato Hj Halidan Bin Md Daud berkongsi pandangannya mengenai kepentingan dan keberkatan wakaf serta bagaimana amalan ini dapat membantu membangunkan masyarakat Islam dan memastikan kesejahteraan ummah. Ustaz Mohd Farid Bin Mohd Ramly pula membincangkan strategi untuk menggalakkan lebih ramai umat Islam turut serta dalam amalan wakaf, serta berkongsi kejayaan program wakaf di Pahang.

Diskusi ini turut diserikan dengan kehadiran Ustaz Ahmad Umair, Imam Masjid Bukit Rangin dan Dr. Ruzaini Bin Abdullah Arsha, Pengerusi Masjid Bukit Rangin.
Diskusi ini membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan pendedahan dan pengetahuan mengenai pengurusan harta wakaf secara lebih jelas, serta menyuntik kesedaran tentang kepentingan mewakafkan harta demi saham akhirat yang berkekalan.
Diskusi ini berjaya menarik perhatian ramai dan memberi impak besar kepada pemahaman serta penglibatan masyarakat dalam amalan wakaf. Semua yang hadir berpeluang menyemarakkan lagi majlis ilmu ini dan bersama-sama membina mahligai syurga melalui wakaf.