Kuantan 15 Ogos 2024 – Masjid Fatimah Az-Zahrah Indera Sempurna telah mengadakan satu Diskusi Wakaf dengan tajuk “Membina Mahligai Syurga” dengan kerjasama Wakaf Pahang. Alhamdulillah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat yang dihadiri oleh lebih 100 jemaah untuk mendengar penerangan daripada ahli panel.
Panel utama, Al-Fadhil Ustaz Dr. Mohd Syakir bin Dato’ Haji Mohd Taib, telah menerangkan dengan mendalam tentang wakaf yang dikelolakan oleh Wakaf Pahang. Beliau menjelaskan cara dan kaedah wakaf tanah, termasuk peranan mutawalli (pemegang amanah) dan aspek-aspek penting lain yang perlu diketahui oleh masyarakat.

Selain itu, Ustaz Dr. Mohd Syakir turut menyentuh tentang kaedah wakaf tunai yang kini boleh dilaksanakan dengan mudah melalui potongan gaji, direct debit dan platform portal Wakaf Pahang. Penjelasan ini diharapkan dapat memudahkan lebih ramai individu untuk menyumbang kepada wakaf dan mendapatkan pahala berpanjangan.
Majlis ini turut dikendalikan oleh moderator, Ustaz Muhammad Fariduddin bin Mohd Salleh, yang memastikan perbincangan berjalan dengan lancar. Turut hadir Ustaz Sayuti bin Osman, Pengerusi Masjid Fatimah Az-Zahrah.
Dengan penerangan yang jelas dan terperinci, majlis ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan penyertaan masyarakat dalam amalan wakaf, seterusnya menyokong pembangunan komuniti melalui dana-dana yang dikumpulkan.