Diskusi Wakaf Di Masjid Kampung Padang, Kuantan

Kuantan, 31 Mei 2024 – Satu diskusi yang bertemakan “Diskusi Wakaf: Membina Mahligai Syurga” telah diadakan di Masjid Kampung Padang pada 31 Mei 2024 selepas solat maghrib. Diskusi ini menampilkan ahli panel yang hebat yang terdiri daripada YH Dato’ Hj Halidan Bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat & Wakaf Pahang dan Ustaz Muhd Fariduddin Mohd Salleh, sebagai moderater pada diskusi kali ini. Ramai penduduk tempatan telah hadir untuk mendalami konsep dan kepentingan wakaf dalam kehidupan mereka.

Dalam ucapan pembukaan, YH Dato’ Hj Halidan Bin Md Daud telah menekankan betapa pentingnya wakaf sebagai satu instrumen ekonomi yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan ummah. Dijelaskan oleh beliau bahawa wakaf bukan sahaja sekadar sumbangan harta, tetapi juga satu bentuk pelaburan yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat. Ditekankan oleh beliau bahawa dengan adanya wakaf, pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang berkekalan seperti masjid, sekolah, dan hospital dapat dipastikan.

Ustaz Muhd Fariduddin Mohd Salleh pula telah menekankan aspek spiritual dan keberkatan yang dibawa oleh amalan wakaf. Para hadirin diajak oleh beliau untuk merenung kembali sejarah wakaf dalam Islam dan bagaimana ia telah menjadi tonggak kekuatan ekonomi umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW dan juga zaman para sahabat. Diskusi ini turut membuka ruang kepada sesi soal jawab di mana hadirin diberi peluang untuk bertanya dan berkongsi pandangan mengenai isu-isu berkaitan wakaf. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam aktiviti wakaf, selaras dengan usaha memperkukuhkan ekonomi ummah dan membina ‘mahligai di syurga’ melalui amalan yang diredhai.