LIPIS, 23 APRIL 2024 – Masjid Kg Kuala Kechau menjadi destinasi seterusnya bagi menyampaikan penerangan berkaitan wakaf dalam siri jelajah Wakaf Pahang sempena penyampaian kelulusan sumbangan dana wakaf.
Diskusi yang bermula 7.45 petang, telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fariddudin Bin Mohd Salleh dari Unit Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang. Dalam kesempatan itu, beliau menyentuh soal pengurusan dan pentadbiran Wakaf Pahang dan turut menekankan akan kepentingan pembangunan aset wakaf serta kepentingan wakaf tunai.
Santunan wakaf ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk berinteraksi dengan pentadbiran Wakaf Pahang serta mendapatkan pandangan mengenai isu-isu penting yang melibatkan wakaf di seluruh negeri Pahang.
Taklimat dalam siri jelajah wakaf ini berakhir dengan acara serahan dana wakaf berjumlah RM50,000 kepada Pengerusi Masjid Kg Kuala Kechau, Ustaz Marzuki bagi projek selenggara masjid. Sumbangan disampaikan oleh Ustaz Farhan Mirdza bagi mewakili YH Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud Pengurus Besar Kanan, Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang. Semoga dengan sumbangan ini akan dapat menyuburkan semangat berwakaf dalam Masyarakat khususnya di negeri Pahang.