Diskusi Wakaf di Masjid Nurul Huda, Felda Siantan, Jengka 19

Jengka, 27 Ogos 2024 – Masjid Nurul Huda di Felda Siantan, Jengka 19, menjadi lokasi bagi satu sesi Diskusi Wakaf yang bertajuk “Membina Mahligai Syurga”. Diskusi ini dianjurkan oleh Wakaf Pahang dengan panel terdiri daripada YH Dato Hj Halidan Bin Md Daud, Ahli Jawatankuasa Wakaf Pahang, dan moderator Ustaz Mohd Farid Bin Mohd Ramly, Ketua Bahagian Dakwah & Pemasaran Wakaf Pahang.

Dalam diskusi tersebut, Dato Hj Halidan memberikan penerangan terperinci mengenai kewujudan dan peranan Wakaf Pahang dalam pembangunan masyarakat khususnya di negeri Pahang. Beliau juga menerangkan mengenai wakaf tunai dan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Wakaf Pahang pada masa kini, yang bertujuan untuk memudahkan masyarakat menyumbang kepada pembangunan ummah.

Selain itu, Dato Hj Halidan menekankan kelebihan wakaf kepada seluruh masyarakat, di mana sumbangan wakaf bukan sahaja memberikan manfaat kepada pewakaf tetapi juga kepada komuniti secara keseluruhan.

Diskusi ini turut memberi penerangan berkaitan kekuatan Tabung Wakaf Masjid (TWM) yang diperkenalkan oleh Wakaf Pahang, yang mana ia memberi manfaat dan kelebihan kepada semua masjid di negeri Pahang. TWM dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memastikan kestabilan kewangan masjid-masjid di negeri ini, sekali gus menyokong pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.