Diskusi Wakaf di Masjid Tengku Abu Bakar, Raub

KUANTAN, 21 JUN 2024 – Masjid Tengku Abu Bakar di Raub telah menganjurkan sebuah diskusi bertemakan “Membina Mahligai Syurga” yang dihadiri oleh jemaah kariah masjid setempat. Diskusi ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan berwakaf dalam masyarakat Islam, khususnya dalam kalangan penduduk setempat.

Diskusi ini menekankan kepentingan berwakaf sebagai satu amalan yang dapat memberikan manfaat berterusan kepada ummah. Jemaah kariah masjid diberi pencerahan tentang bagaimana wakaf boleh menjadi satu instrumen untuk membangunkan ekonomi dan memperkasakan komuniti. Wakaf juga dilihat sebagai satu cara untuk mencapai pahala yang berpanjangan, kerana manfaat daripada harta wakaf terus dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Selain itu, ahli panel juga berbincang mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan wakaf di Malaysia. Isu birokrasi dan kekurangan kesedaran di kalangan masyarakat dikenal pasti sebagai halangan utama. Untuk mengatasi cabaran ini, diskusi turut menyampaikan kaedah yang mudah untuk berwakaf, termasuk panduan praktikal dan langkah-langkah mudah yang boleh diambil oleh individu untuk menyumbang kepada wakaf. Dengan adanya panduan ini, diharapkan lebih ramai masyarakat akan terlibat dalam amalan wakaf, seterusnya memperluaskan lagi manfaatnya kepada komuniti setempat.