Diskusi Wakaf di Masjid Tengku Mahkota Abdullah di Kampung Peramu, Kuantan

Kuantan, 29 Oktober 2024 – Masjid Tengku Mahkota Abdullah di Kampung Peramu malam tadi menjadi tumpuan para jemaah untuk mengikuti Diskusi Wakaf yang dikendalikan oleh panel utama, Dr. Mohd Syakir bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang. Diskusi ini dimoderatorkan oleh Ustaz Muhammad Fariduddin bin Mohd Salleh dari Unit Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang, yang berperanan dalam mengendalikan perbincangan dengan penuh hikmah dan interaktif.

Diskusi ini menampilkan topik berfokuskan kepentingan wakaf dalam pembangunan ummah, di mana Dr. Mohd Syakir berkongsi peranan Wakaf Pahang dalam menyumbang kepada lima sektor utama: agama, pendidikan, kesihatan, sosial, dan ekonomi. Menurut beliau, inisiatif wakaf bukan sahaja memperkukuhkan institusi agama tetapi juga memainkan peranan penting dalam aspek sosioekonomi masyarakat.

Ustaz Muhammad Fariduddin, sebagai moderator, turut membangkitkan soalan-soalan yang membolehkan hadirin mendalami dengan lebih lanjut bagaimana mereka boleh terlibat dalam inisiatif wakaf di negeri Pahang ini. Diskusi ini diakhiri dengan sesi soal jawab di mana para hadirin mengambil kesempatan untuk memahami lebih mendalam tentang amalan wakaf dan implikasinya kepada masyarakat setempat.

Para jemaah yang hadir menyambut baik perkongsian tersebut dan berasa lebih termotivasi untuk menyokong usaha-usaha wakaf yang dikendalikan oleh Wakaf Pahang.