PEKAN, 25 Jun 2024 – Wakaf Pahang telah menganjurkan satu diskusi wakaf bertajuk “Membina Mahligai Syurga” di Masjid Kg Pulau Serai, Pekan . Diskusi ini telah menarik kehadiran seramai 100 orang jemaah yang hadir untuk mendalami topik yang dibincangkan. Diskusi ini menampilkan YBrs Dr. Mohd Syakir bin Mohd Taib, Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang, sebagai panel utama dan dikendalikan oleh moderator Ustaz Muhammad Fariduddin Mohd Salleh.

Sepanjang diskusi, YBrs Dr. Mohd Syakir bin Mohd Taib telah berkongsi pandangan dan pengetahuan mengenai kepentingan wakaf dalam membangunkan komuniti yang kukuh dan beriman. Beliau menekankan betapa pentingnya sumbangan wakaf dalam membina infrastruktur dan kemudahan untuk kegunaan umum, serta manfaat jangka panjangnya kepada masyarakat. Moderator, Ustaz Muhammad Fariduddin Mohd Salleh, turut membantu dengan mengemudi perbincangan agar lebih interaktif dan memberi ruang kepada para jemaah untuk bertanya dan berkongsi pendapat.
Pengerusi masjid, Ustaz Tuan Haji Ishak bin Idris, dalam ucapan penutupnya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan menekankan betapa pentingnya sokongan dan penyertaan dalam program-program sebegini. Beliau berharap diskusi ini dapat memberi inspirasi kepada jemaah untuk lebih aktif dalam amalan wakaf dan sama-sama “membina mahligai syurga” melalui sumbangan dan usaha yang ikhlas.