PEKAN, 27 Jun 2024 – Masjid Taqwa di Pekan telah mengadakan satu diskusi wakaf bertemakan “Membina Mahligai Syurga”. Diskusi ini menarik ramai jemaah yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang konsep wakaf. Diskusi ini dipimpin oleh YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, manakala Ustaz Muhammad Fariduddin Mohd Salleh sebagai moderator.
YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud dalam pembentangannya menekankan kepentingan wakaf dalam ekonomi, sosial, kesihatan, pendidikan dan agama umat Islam. Beliau berkongsi beberapa projek wakaf yang telah berjaya di Pahang dan mengajak jemaah untuk terus menyokong usaha-usaha ini. Diskusi yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Fariduddin Mohd Salleh berjalan dengan lancar dan interaktif, memberi peluang kepada jemaah untuk bertanya dan berkongsi pandangan.

Pengerusi masjid, YH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Haji Hassan, mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin dan turut serta dalam diskusi ini. Beliau menegaskan pentingnya sokongan semua pihak dalam menjayakan projek-projek wakaf untuk manfaat bersama. Diskusi ini diharapkan dapat memberikan kesedaran dan motivasi kepada jemaah untuk lebih aktif dalam amalan wakaf demi kebaikan umat Islam.