Beserah, 31 Oktober 2024 – Masjid Jamek Beserah hari ini menjadi lokasi berlangsungnya sesi diskusi wakaf bertajuk “Membina Mahligai Syurga”, satu inisiatif memperkasa kesedaran masyarakat terhadap amalan wakaf sebagai salah satu jalan menuju keberkatan akhirat.
Diskusi yang dianjurkan dengan kerjasama Wakaf Pahang ini menampilkan Dr. Mohd Syakir Bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang, sebagai panel utama. Dr. Mohd Syakir berkongsi pandangan mendalam mengenai kepentingan wakaf dalam membangun masyarakat dan ekonomi ummah, serta bagaimana amalan ini boleh menjadi saham pahala yang berterusan. “Dengan berwakaf, kita bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi turut membina asas kesejahteraan untuk generasi akan datang,” ujar beliau.

Diskusi ini dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Fariduddin Bin Mohd Salleh dari Unit Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang yang berperanan sebagai moderator. Ustaz Muhammad Fariduddin memastikan suasana diskusi berjalan lancar dan interaktif, membolehkan jemaah yang hadir berpeluang bertanya dan berkongsi pandangan secara terbuka.
Selain perbincangan tentang manfaat wakaf dari sektor agama dan sektor pendidikan, jemaah juga diberikan maklumat lanjut tentang sektor yang lain antaranya, sektor kesihatan, sektor ekonomi dan sektor sosial.
Diskusi ini berakhir dengan seruan kepada semua hadirin agar merenung potensi wakaf sebagai satu amalan yang bukan sahaja memberi manfaat di dunia tetapi juga untuk kebahagiaan di akhirat.