Diskusi Zakat & Wakaf di Masjid Kg Raja, Cameron Highland

CAMERON HIGHLANDS, 8 MEI 2024 – Program diskusi bertajuk ” Zakat & Wakaf: Pentingnya Peranan Masyarakat” telah diadakan bertujuan untuk berkongsi maklumat isu-isu berkaitan zakat dan wakaf serta pentingnya peranan masyarakat dalam menyokong amalan kedua-dua konsep tersebut.

Program tersebut menampilkan dua orang ahli panel iaitu Tuan Hj Azmi Bin Othman, Ketua Bahagian Korporat & Dakwah Pusat Zakat Pahang dan Encik Mohd Farid Bin Mohd Ramly, Ketua Bahagian Pemasaran & Dakwah Wakaf Pahang.Diskusi tersebut dipengerusikan oleh Ustaz Zafridan Bin Md Daud, Ketua Bahagian Pemasaran PKZ Pahang. Antara topik yang dibincangkan termasuklah pentingnya zakat dalam ekonomi Islam, peranan wakaf dalam pembangunan komuniti, serta strategi untuk meningkatkan kesedaran dan penyertaan masyarakat dalam amalan kedua-dua konsep tersebut.

Menurut Tuan Hj Azmi, zakat memainkan peranan yang dalam pembangunan komuniti hari ini, beliau menjelaskan bahawa zakat bukan sekadar kewajiban agama, tetapi juga alat untuk membangunkan masyarakat. Beliau berkongsi contoh kejayaan program zakat hasil kutipan zakat yang banyak telah memberi impak positif kepada golongan asnaf yang memerlukan.
Panel kedua iaitu Encik Mohd Farid pula mengulas tentang penglibatan komuniti sebagai elemen penting dalam kejayaan program wakaf. Beliau menyatakan bahawa penglibatan aktif komuniti tempatan adalah kunci untuk memastikan keberkesanan dalam menjayakan pembangunan wakaf di negeri Pahang. Beberapa aspek yang disorot dalam penglibatan komuniti termasuklah menggalakkan masyarakat menjadikan wakaf sebagai amalan kehidupan dengan berwakaf tunai Serendah RM5 sebagai bekalan setelah kita meninggal dunia.
Diskusi tersebut turut memberi peluang kepada hadirin untuk bertanya soalan serta berkongsi pandangan mereka.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat.Turut hadir Encik Samsul merangkap Pengerusi Masjid Kg Raja . Semangat untuk memahami dan mengamalkan nilai-nilai zakat dan wakaf semakin diperkukuhkan melalui program seperti ini. Kepelbagaian pandangan dari ahli panel serta interaksi bersama jemaah telah menjadikan program ini sebagai satu platform yang berharga bagi memperkukuhkan kefahaman dan komitmen terhadap amalan zakat dan wakaf dalam masyarakat tempatan.