CAMERON HIGHLANDS, 8 MEI 2024 – Satu diskusi mengenai peranan zakat dan wakaf dalam mengurus sosio ekonomi umat Islam telah diadakan di Masjid Abu Bakar, Tanah Rata, Cameron Highlands. Ini merupakan satu lagi program dalam siri jelajah oleh Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang dalam usaha menyebarluas pengetahuan mengenai zakat dan wakaf ke seluruh negeri Pahang.
Diskusi yang diketuai sendiri oleh Dato’ Hj Halidan Md Daud, Pengurus Besar Zakat dan Wakaf Pahang bersama En Zaisam bin Zainal Pengurus PKZ Zon Barat dan Ust Felza Zulrafaee, Pengurus PKZ Zon Timur selaku moderator itu, telah menekankan bahawa zakat yang dikeluarkan oleh mereka yang mempunyai kekayaan telah dapat membantu mengeluarkan umat Islam dari terperangkap dalam belenggu kemiskinan dan kesusahan. Oleh itu, Pusat Kutipan Zakat Pahang atau PKZ senantiasa berusaha membantu umat Islam dalam urusan memudahkan umat Islam untuk menunaikan zakat harta. Apa pun harta kekayaan yang dimiliki samada hasil perniagan besar mahu pun kecil, pendapatan dari gaji atau upah serta wang simpanan, hendaklah disemak sama ada telah mencukupi syarat yang mewajibkan mengeluarkan zakat.
Walaubagaimanapun, bagi mereka yang belum mencapai tahap wajib berzakat, satu alternatif bagi menguruskan harta supaya memberi manfaat kepada pemiliknya ialah dengan berwakaf. Kini, kaedah berwakaf secara tunai yang disediakan melalui portal Wakaf Pahang sangat memudahkan bagi orang ramai untuk berwakaf.
Menurut Dato’ Halidan, dana wakaf lebih fleksibel dari segi penggunaannya sehinggalah harta wakaf boleh dimanfaatkan oleh orang-orang bukan Islam juga. Diskusi juga turut menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh para jemaah termasuklah sama ada wakaf juga boleh mendapat rebat cukai. En Zaisam menjelaskan bahwa membayar zakat boleh mendapat rebat cukai namun wakaf pula mendapatkan tolakan cukai.
Dengan kehadiran hampir 50 jemaah, termasuk Tn Haji Muhammad Razelan Rozali, Timbalan Pengerusi Masjid, diskusi ini telah dapat memberikan kefahaman betapa zakat dan wakaf merupakan kaedah yang amat penting bagi umat Islam menguruskan harta masing-masing. Zakat merupakan satu kewajipan dimana tidak sempurna rukun Islam seseorang yang tidak menunaikannya. Sementara wakaf, walaupun ianya berstatus ‘sunat’ namun ianya merupakan amal jariah yang berpanjangan sehingga ke akhirat nanti.