Forum Kepentingan Zakat dan Wakaf di Masjid Kayangan Berinchang, Cameron Highlands, Pahang

CAMERON HIGHLANDS, 8 MEI 2024 – Suasana penuh semangat memeriahkan forum kepentingan zakat dan wakaf yang dihadiri oleh Pengerusi dan ahli jemaah masjid serta penduduk tempatan ini bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai amalan zakat dan wakaf dalam kehidupan masyarakat di negeri Pahang telah berlangsung di Masjid Kayangan, Berinchang, Cameron Highlands.

Ustaz Mohd Asri Awang, selaku pengerusi, memulakan forum dengan menjelaskan betapa pentingnya zakat dan wakaf dalam memperkuat aspek keagamaan, ekonomi dan sosial Umat Islam.

Panelis pertama, Ustaz Che Samsol Ibrahim selaku Timbalan Pengurus Besar Zakat Pahang, telah menjelaskan tentang kewajiban zakat adalah satu bentuk ibadah yang mampu membawa keberkatan dalam kehidupan umat Islam. Beliau juga memberikan contoh-contoh bagaimana zakat yang disalurkan dengan sempurna dapat membantu meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan.

Sementara panelis kedua, Dr. Mohd Syakir Mohd Taib sebagai Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang, pula menerangkan mengenai pelaksanaan dan manfaat wakaf dalam konteks pembangunan agama, pendidikan, ekonomi, kesihatan dan sosial di Pahang yang menjadi pemangkin bagi menyelesaikan masalah kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Diharapkan forum ini dapat menjadi pemangkin bagi masyarakat setempat untuk lebih menghayati dan mengamalkan zakat dan wakaf sebagai satu amalan yang membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada semua. Semoga kesedaran dan amalan terhadap zakat dan wakaf dapat terus ditingkatkan demi kesejahteraan bersama oleh masyarakat di negeri Pahang.