Forum “Mencari Keredhaan Ilahi” di Kampung Juara

Tioman, 6 Mei 2025 – Forum bertajuk “Mencari Keredhaan Ilahi” telah membuka tirainya di Masjid Kampung Juara, Pulau Tioman, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa kefahaman masyarakat terhadap peranan zakat dan wakaf dalam kehidupan seorang Muslim. Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Wakaf Pahang, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ), Pejabat Agama Islam Daerah Rompin (PAID Rompin), serta sokongan agensi tempatan di Pulau Tioman.

Forum edisi pertama ini menampilkan dua panelis utama iaitu Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim, Timbalan Pengurus Besar Zakat Pahang dan Dr. Mohd Syakir bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang. Kedua-dua tokoh telah menyampaikan pengisian yang padat dan menyentuh hati mengenai kepentingan membersihkan harta melalui zakat serta keberkatan amal jariah melalui wakaf.

Dalam sesi perkongsian tersebut, para panelis menekankan bahawa zakat dan wakaf bukan sekadar ibadah bersifat kebendaan, tetapi juga cerminan keimanan, amanah dan kesungguhan umat Islam dalam meraih redha Allah SWT. Forum ini turut menyentuh isu kesedaran masyarakat terhadap peranan institusi agama dalam memelihara kebajikan ummah dan membina sistem sokongan yang berterusan.

Kehadiran penduduk Kampung Juara yang begitu memberangsangkan mencerminkan minat dan keterbukaan mereka dalam menimba ilmu serta menyokong usaha dakwah yang berimpak tinggi seperti ini. Forum ini juga berjaya membuka ruang perbincangan sihat dan membina persefahaman lebih erat antara institusi agama dan komuniti pulau.