Forum “Mencari Keredhaan Ilahi” di Kampung Tekek

Tioman, 7 Mei 2025 – Siri forum “Mencari Keredhaan Ilahi” diteruskan di Masjid Jamek Kampung Tekek dengan pengisian yang lebih menyeluruh dan mantap. Program ini berjaya menarik kehadiran yang ramai dalam kalangan masyarakat setempat yang dahagakan ilmu agama serta kefahaman yang jelas berkenaan tanggungjawab sosial umat Islam melalui institusi zakat dan wakaf.

Forum malam tersebut menampilkan barisan panel berpengalaman iaitu Tuan Haji Bunyamin bin Abdul Ghani selaku Al-Fadhil Qadhi Daerah Rompin, Tuan Haji Che Samsol bin Ibrahim, Timbalan Pengurus Besar Zakat Pahang, serta Dr. Mohd Syakir bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang. Turut hadir sebagai moderator forum ialah Ustaz Ahmad Tajuddin bin Aziz, Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Daerah Rompin.

Sesi berlangsung dalam suasana yang harmoni dan penuh perhatian apabila para panelis membicarakan secara tuntas tentang makna sebenar mencari keredhaan Ilahi dalam kehidupan. Antara intipati penting yang diketengahkan termasuklah keikhlasan dalam beramal, pentingnya mensucikan harta melalui zakat, serta bagaimana wakaf mampu menjadi pelaburan akhirat yang berterusan untuk umat Islam.

Forum ini turut menjadi platform pengukuhan hubungan antara agensi agama dan masyarakat, khususnya di kawasan kepulauan. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen agensi-agensi Islam di Negeri Pahang dalam mendekati masyarakat luar bandar dan menyediakan ruang dialog ilmiah yang membina dan menyentuh aspek kehidupan secara menyeluruh.