[Jelajah DDHA] Ramah Mesra Bersama Kakitangan Majlis Perbandaran Bentong

BENTONG, 19 FEBRUARI 2024 – Satu pertemuan bersama kakitangan Majlis Perbandaran Bentong telah diadakan bersempena Jelajah DDHA Zon Barat 2024 bertempat di Dewan Mesyuarat Utama MPB. Pengurus Besar Kanan PKZW, Dato’ Hj Halidan Md Daud berkesempatan berkongsi serba sedikit berkenaan peranan yang dimainkan oleh Wakaf Pahang kepada seluruh kakitangan yang hadir. Beliau menekankan kepentingan amalan berwakaf sebagai satu bentuk sumbangan yang berterusan untuk kebajikan dan pembangunan komuniti.

Program diteruskan dengan tazkirah ringkas oleh Dato’ Dr Hasan Ali selaku penceramah jemputan. Beliau banyak menyentuh berkenaan etika dan integriti dalam pekerjaan. Beliau menegaskan rasuah adalah musuh utama dan jika tidak dibendung maka akan menjadi barah dalam sesuatu institusi.

Program ramah mesra ini diharapkan memberi impak positif dan seterusnya mengeratkan lagi ukhuwah antara MPB dan juga Wakaf Pahang. Semoga usaha ini dapat merangsang minat dan penyertaan lebih banyak pihak dalam melibatkan diri dalam amalan berwakaf untuk kesejahteraan semua.