KUANTAN – Wakaf Pahang di dalam usaha untuk menyebarkan maklumat berkaitan wakaf kepada masyarakat di negeri Pahang. Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan usaha ini, pihak Wakaf Pahang telah mengambil inisiatif untuk membuka kaunter wakaf di beberapa buah masjid yang terpilih di negeri Pahang untuk memudahkan masyarakat menunaikan ibadah wakaf dan bertanyakan berkenaan pengurusan wakaf di negeri Pahang. Kaunter dibuka sekitar pukul 12:30 tengah hari sehingga pukul 2:30 petang.
Pembukaan kaunter di bulan Ramadan sedikit sebanyak memudahkan masyarakat untuk berwakaf. Kebanyakan daripada pewakaf yang ingin mengambil peluang untuk memperbanyakkan amalan sunat di bulan Ramadan dan niatkan wakaf tersebut kepada ahli keluarga yang mereka sayang. Alhamdulillah, pembukaan kaunter wakaf mendapat sambutan daripada masyarakat.
Usaha yang dilakukan ini adalah selari dengan titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong iaitu “program wakaf juga perlu terus diperkasakan selari dengan arus pemodenan negara ketika ini”. Titah daripada Seri Paduka Baginda ini wajar dijunjung agar dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan dana wakaf kepada pembangunan ummah di negeri Pahang yang berteraskan 5 teras utama iaitu ekonomi, keagamaan, kesihatan, pendidikan dan sosial.