KDPB Sultan Pahang Berkenan Lancar Bot Wakaf Pahang

PULAU TIOMAN, 18 Februari – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pelancaran Bot Wakaf Pahang yang berlangsung di Kompleks Marina Pulau Tioman.

Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada jam 3.00 petang turut diiringi oleh YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Tok Muda Dato’ Ahmad Hairi, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, YBrs. Dr. Haji Mohd Azmi serta barisan Kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang

Projek berteraskan kebajikan ini merupakan satu inisiatif proaktif Wakaf Pahang MUIP dalam menyediakan kemudahan aset maritim melalui dana wakaf bagi kegunaan sosial dan keselamatan. Bot Wakaf Pahang ini disediakan khusus untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat serta pelancong, terutama dalam menghadapi situasi kecemasan di perairan Pulau Tioman.

Antara fungsi utama bot berkenaan termasuklah pengurusan jenazah bagi memudahkan urusan membawa jenazah ke tanah besar dengan lebih cepat, teratur dan penuh penghormatan. Selain itu, bot ini juga berperanan sebagai aset sokongan tambahan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku insiden atau kemalangan di perairan sekitar. Ia turut digunakan untuk pelbagai tugasan kebajikan lain demi kepentingan serta kesejahteraan komuniti setempat.

Dalam majlis tersebut, Paduka Baginda berkenan menandatangani plak pelancaran serta mengurniakan Sijil Pelantikan Mutawalli Khas Wakaf Pahang MUIP kepada Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Encik Jumshoiry Novdany bin Mohd Sulaiman.

Paduka Baginda kemudiannya berkenan meninjau bot berkenaan di Jeti Marina yang merupakan hasil sumbangan dana wakaf daripada pelbagai pihak melalui Wakaf Pahang MUIP.

Pelancaran Bot Wakaf Pahang ini memperlihatkan perkembangan instrumen wakaf di Negeri Pahang yang semakin dinamik dan inklusif, bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan pendidikan dan kebajikan sosial, malah turut meliputi aspek keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim yang memberi impak langsung kepada kualiti hidup masyarakat di Pulau Tioman.