Kuantan, 16 Julai 2025 – Yayasan Pahang (YP) hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi membincangkan pewakafan enam (6) buah rumah serta sumbangan wakaf tunai. Projek Wakaf ini bertujuan menyokong pelaksanaan Projek Bandar Madinah Mawadah, sebuah inisiatif penting wakaf yang bakal membawa impak positif kepada masyarakat.
Kunjungan hormat YP tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, YBHG Tn. Hj. Abdul Razak Abu Musa Shaari. Beliau bersama delegasi YP telah disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP), YBrs. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman.

Perbincangan antara kedua-dua pihak memfokuskan kepada mekanisme pewakafan aset dan dana bagi memastikan Projek Bandar Madinah Mawadah dapat direalisasikan dengan jayanya. Pihak Yayasan Pahang menyatakan komitmen penuh mereka dalam menjayakan Projek Bandar Madinah Mawadah yang diyakini akan menjadi pusat komuniti yang sejahtera dan berlandaskan prinsip-prinsip Islam. Kerjasama erat antara Yayasan Pahang dan Wakaf Pahang MUIP ini mencerminkan usaha kolektif dalam memperkasakan institusi wakaf demi manfaat ummah
Dalam sesi perbincangan tersebut, beberapa perkara utama telah disentuh, antaranya:
Pelantikan Mutawalli – Perbincangan mengenai cadangan pihak yang akan dilantik sebagai mutawalli bagi mengurus tadbir aset wakaf yang terlibat, selaras dengan kehendak syarak dan perundangan semasa.
Model Kiosk Usahawan Asnaf – Perbincangan turut menyentuh tentang pembangunan kiosk-kiosk usahawan sebagai salah satu platform keusahawanan kepada golongan asnaf, yang bakal menjadi pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi mereka.
Pelaksanaan Program Wakaf – Perancangan program-program berkaitan wakaf turut dibincangkan secara menyeluruh, termasuk strategi pelaksanaan, promosi serta kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan.
Kunjungan ini membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara Yayasan Pahang dan pihak-pihak terlibat dalam merealisasikan hasrat menjadikan wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang berkesan dan berimpak tinggi.





