KUANTAN, 5 MAC 2024 – Hari ini, Sekolah Kebangsaan Jaya Gading Kuantan menerima kunjungan istimewa dari Wakaf Pahang dalam usaha meningkatkan kesedaran berwakaf dikalangan warga SK Jaya Gading sempena Bulan Zakat dan Wakaf. Kunjungan ini diketuai oleh Ust Muhammad Fariduddin b Mohd Salleh, bersama petugas Wakaf Pahang.
Dalam taklimatnya, Ust Muhammad Fariduddin telah menekankan tentang pentingnya berwakaf, khususnya dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah. Lebih 40 orang guru dan kakitangan sekolah hadir untuk mendengar penerangan dari beliau. Ust Muhammad Fariduddin menekankan betapa pentingnya sumbangan dari guru dan kakitangan sekolah dalam membantu memajukan bidang pendidikan melalui wakaf.
Beliau juga menggariskan bahawa dengan penglibatan yang tinggi dari pihak sekolah dalam membuat potongan gaji untuk berwakaf, mereka akan layak memohon peruntukan dari tabung wakaf untuk kepentingan sekolah. Ust Muhammad Fariduddin berharap agar kesedaran ini dapat menyuburkan semangat kebajikan dan pengorbanan dalam kalangan masyarakat pendidikan.
Guru besar Sekolah, YM Engku Marziah, turut memberikan komitmen penuh terhadap usaha ini. Beliau mengajak guru-guru dan kakitangan sekolah untuk bersatu hati dalam memberikan sumbangan, dengan harapan mereka dapat membuat potongan gaji untuk wakaf melebihi 80%. Ini akan memudahkan pihak sekolah untuk memohon dana wakaf dari tabung Wakaf Pahang untuk menjayakan projek penambahbaikan surau sekolah.
Sebagai respons terhadap seruan gurubesar, lebih daripada 70% daripada kakitangan yang hadir pada sesi penerangan hari ini telah membuat membuat potongan gaji. Ini menunjukkan semangat kerjasama dan kesedaran tinggi dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan di Sekolah Kebangsaan Jaya Gading Kuantan melalui pelibatan aktif dalam amal jariah wakaf.
Kunjungan ini bukan sahaja memberikan penerangan tetapi juga membawa inspirasi kepada warga sekolah untuk bersama-sama berusaha demi kesejahteraan bersama. Harapannya, usaha ini akan memberikan impak positif bukan sahaja kepada sekolah tetapi juga kepada masyarakat setempat, mencipta satu budaya berwakaf yang berkekalan.