LKPP Corporation Sdn Bhd berwakaf 2.7juta kepada Wakaf Pahang MUIP

Kuantan, 6 November 2025 – Wakaf Pahang menerima sumbangan dana wakaf berjumlah RM2.7 juta daripada Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP CORPORATION SDN. BHD) Negeri Pahang bagi tujuan pembangunan Projek Masjid Ladang LCSB Chini, dalam satu perjumpaan ringkas yang berlangsung di Ibu Pejabat Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Kuantan, hari ini.

Penyerahan disempurnakan oleh Tuan Haji Zamri bin Abdul Wahab, Pengurus Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia LKPP Pahang, kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi bin Haji Othman.

Menurut Dr. Haji Mohd Azmi, sumbangan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjayakan pembangunan Masjid Ladang LCSB Chini, sebuah projek wakaf yang bakal memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat dari aspek keagamaan, pendidikan dan kebajikan.

“Inisiatif LKPP ini amat bermakna kerana bukan sekadar menyumbang kepada pembangunan fizikal, tetapi turut melambangkan komitmen institusi korporat dalam memperkukuh ekonomi ummah melalui wakaf,” katanya.

Turut hadir menyaksikan serahan wakaf ini ialah Encik Khairuddin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP); Dr. Mohd Syakir bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang; Encik Zafridan bin Mohd Daud, Ketua Bahagian Pemasaran Pusat Kutipan Zakat Pahang; dan Encik Ridhuan, Pegawai daripada LKPP CORPORATION SDN. BHD.

Wakaf Pahang menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada LKPP atas keprihatinan dan sokongan terhadap usaha pembangunan wakaf di negeri ini. Semoga kerjasama strategik ini menjadi contoh kepada agensi lain dalam memperluas manfaat wakaf demi kesejahteraan masyarakat Pahang.