MAJLIS PELUNCURAN SAMBUTAN BULAN WAKAF KEBANGSAAN 2025 MERIAH DI PICC

Putrajaya, 27 Februari 2025 – Majlis Peluncuran Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 berlangsung dengan penuh kemeriahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Acara anjuran Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) itu telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Majlis berprestij ini menghimpunkan semua Jabatan Wakaf Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang turut serta dalam pameran dan promosi wakaf melalui booth yang disediakan. Kehadiran pelbagai agensi dan organisasi berkaitan menjadikan acara ini sebagai platform terbaik dalam menggalakkan kesedaran serta penyertaan masyarakat dalam inisiatif wakaf di peringkat kebangsaan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Senator Dato’ Setia Dr. Naim Bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta YBhg. Dato’ Selamat Bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR. Kehadiran mereka menyerlahkan lagi komitmen kerajaan dalam memperkasakan agenda wakaf di Malaysia.

Selain itu, YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), turut hadir bagi menyokong inisiatif pemerkasaan wakaf yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Wakaf Pahang turut memainkan peranan penting dalam sambutan ini dengan menyertai pameran dan mempromosikan wakaf Pahang kepada pengunjung. Delegasi Wakaf Pahang diketuai oleh YBrs Tuan Haji Mohd Azmi Bin Haji Othman, Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP), yang turut berkongsi maklumat mengenai pelbagai program wakaf yang telah berlangsung dan akan dilaksanakan di negeri itu.

Majlis ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wakaf dalam pembangunan ekonomi umat Islam serta membuka peluang lebih luas untuk penyertaan orang ramai dalam inisiatif ini. Dengan pelbagai program yang dirancang sepanjang Bulan Wakaf Kebangsaan, diharapkan lebih ramai pihak akan turut serta dalam usaha memperkasakan wakaf di Malaysia.