KUANTAN, 30 APRIL 2024 – Warga SMK Semambu kini mampu menarik nafas lega apabila pembinaan Surau Al-Hidayah siap sepenuhnya hasil sumbangan dari Wakaf Pahang dan orang awam.
Perasmian bersejarah ini disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan, Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, YH Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud. Turut hadir bersama dalam majlis perasmian tersebut adalah Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang YBrs Dr Mohd Syakir Bin Dato’ Haji Mohd Taib, YDP-PIBG SMK Semambu Encik Mohd Zulkefli Bin Ismail, Pengetua SMK Semambu Puan Norzaini Azlina Binti Zainudin serta beberapa wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan.
Surau yang terletak di dalam kompleks sekolah menengah tersebut menjadi pusat kegiatan keagamaan bagi pelajar dan warga sekolah. Dengan bantuan dana wakaf yang diterima, pihak sekolah berupaya membina sebuah surau baharu yang selesa memandangkan sebelum ini para pelajar terpaksa solat diruang legar sekolah.
Dalam ucapan perasmian, YH Dato’ Haji Halidan Bin Md Daud menekankan pentingnya sumbangan wakaf dalam pembangunan keagamaan dan pendidikan yang berkualiti berteraskan nilai-nilai agama.
“Dengan adanya bantuan dari Wakaf Pahang, kita dapat melihat betapa pentingnya peranan wakaf dan peranan masyarakat itu sendiri dalam memperkasakan wakaf sebagai sumber kekuatan ekonomi umat islam selain zakat memandangkan agihan dana wakaf sangat luas dan tidak terhad kepada asnaf sahaja”.
Ujarnya lagi, “kita telah mengagihkan dana wakaf berjumlah RM150,000 kepada SMK Semambu bagi membantu pihak sekolah menyiapkan pembinaan surau ini.”
Tidak hanya sebagai tempat ibadah, Surau Al-Hidayah di SMK Semambu juga dijadikan pusat pembelajaran agama dan moral bagi pelajar. Inisiatif ini diharapkan dapat membentuk generasi yang bertakwa dan berakhlak mulia.
Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada Wakaf Pahang atas sumbangan yang besar maknanya ini. Mereka berharap agar Surau Al-Hidayah terus menjadi tempat yang memberi manfaat dan membawa berkat kepada semua yang menggunakannya.