KUANTAN, 15 JULAI 2024 – Majlis perasmian Surau An Nur di Sekolah Kebangsaan (SK) Chengal Lempong telah disempurnakan dengan penuh gemilang oleh Timbalan Pengurus Wakaf Pahang, YBhg Dr. Mohd Syakir Bin Dato Haji Mohd Taib. Majlis yang diadakan pagi tadi turut dihadiri oleh Encik Muhammad Fariduddin Bin Mohd Salleh dari Unit Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Mohd Syakir menegaskan komitmen Wakaf Pahang dalam menyokong pembangunan fasiliti keagamaan di sekolah-sekolah bagi memastikan pelajar mendapat manfaat sepenuhnya. Beliau juga menekankan pentingnya surau sebagai pusat aktiviti keagamaan dan sosial bagi pelajar-pelajar sekolah.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Guru Besar SK Chengal Lempong, Encik Haris Bin Ibrahim, yang mengalu-alukan kehadiran wakil dari Wakaf Pahang. Encik Haris mengucapkan terima kasih atas sokongan dan sumbangan yang diberikan, dan berharap Surau An Nur akan menjadi pusat kegiatan yang bermanfaat bagi semua warga sekolah.
Majlis perasmian ini mendapat sambutan yang luar biasa dengan kehadiran lebih 1000 orang murid dan kakitangan sekolah. Pelbagai aktiviti turut diadakan sempena majlis ini, termasuk sesi tazkirah dan lawatan ke galeri Rasulullah S.A.W. serta lawatan ke surau.
Dengan perasmian Surau An Nur ini, diharapkan pelajar-pelajar dapat memanfaatkannya untuk aktiviti keagamaan dan sosial, sekaligus memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan mereka.

Perasmian surau ini adalah satu langkah positif dalam usaha memperkukuhkan nilai-nilai keagamaan di kalangan pelajar sekolah, sejajar dengan matlamat Wakaf Pahang untuk memajukan pendidikan dan keagamaan di negeri ini.