Mantan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Mewakafkan Tanah

TEMERLOH, 6 OKTOBER 2023 – “Saya hanya memikirkan saham akhirat, tiada niat lain. Semoga tanah yang kami wakafkan ini mampu membangunkan ummah,” kata Dato Indera Hj Norzan Bin Ahmad, 69. Beliau yang juga merupakan bekas Pegawai Kewangan Negeri Pahang adalah pewakaf yang telah mewakafkan tanah seluas hampir dua ekar di Kampung Sanggang, di mukim Pontian.

“Saya rela hati mewakafkan tanah ini untuk umat Islam. Tanah yang diwakafkan itu diusahakan dengan tanaman getah sebelum ini. Ini kali pertama saya mewakaf tanah. Memang niat hendak diwakafkan. Tiada niat lain, saya lihat ini adalah simpanan saya dan isteri di akhirat nanti, jadi saya terbuka untuk berwakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan tanah wakaf kepada Pegawai Wakaf Pahang Encik Mohd Farid Bin Mohd Ramly, di sini. Beliau berharap tanah yang diwakafkan itu dapat digunakan untuk kebaikan umat Islam sejagat.

Dato Indera Hj Norzan membawa Mohd Farid melihat kawasan tanah yang ingin diwakafkan.

“Kalau ikutkan nilainya tidak besar, namun saya amat berharap manfaat yang diperolehi hasil wakaf ini besar. ” katanya. Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kerana sudi hadir bertemu beliau bagi memudahkan urusan pewakafan ini.

Semoga pertemuan ini menjadi pemangkin semangat untuk lebih ramai lagi yang ada di luar sana untuk melaksanakan ibadah wakaf bagi bekalan akhirat.