Para Peguam Dapat Pendedahan

TEMERLOH, 25 OKTOBER 2023 – Satu pertemuan dengan Peguam-Peguam Syarie dan Peguam Sivil telah diadakan di Hotel Sri Malaysia Temerloh sempena program Jelajah Wakaf Dato’ Dr Hassan bin Mohd Ali.

Di dalam pertemuan tersebut hampir 20 orang peguam telah hadir. Slot pertama telah disampaikan oleh Dato’ Haji Halidan bin Mohd Daud, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang. Dato Haji Halidan telah menerangkan mengenai pengurusan wakaf semasa yang diuruskan oleh Wakaf Pahang.

“Wakaf Pahang kini memberi tumpuan kepada penerangan dan perkongsian dengan pelbagai pihak termasuk golongan profesional seperti para peguam” menurutnya lagi. Slot kedua telah disampaikan oleh Dato’ Mohd Najid bin Hussein yang merupakan salah seorang ahli panel penggubal Enakmen Wakaf Pahang 2022 telah diwartakan pada 17 Ogos 2023. Menurut Dato’ Mohd Najid, Enakmen Wakaf Pahang memudahkan semua pihak untuk melaksanakan wakaf.

Majlis Ugama Islam Pahang, sebagai Pemegang Amanah Tunggal, boleh melantik pihak ketiga bagi mengurus atau membangunkan tanah-tanah wakaf sebagai ‘Mutawalli’. Para pewakaf boleh menamakan sesiapa yang diyakininya untuk menjadi mutawalli bagi membangunkan tanah yang ingin diwakafkan seperti membangunkan pondok atau maahad tahfiz. Perkara ini termaktub di dalam Enakmen tersebut.

Di dalam sesi perbincangan dan soal jawab pula, para peguam yang hadir sempat bertanyakan tentang pelbagai persoalan yang mereka hadapi sebelum ini dalam menguruskan wakaf.

Umumnya, program ini sangat bermanfaat kepada semua, terutamanya bagi Wakaf Pahang kerana program ini mendapat sambutan yang sangat memberansangkan dari para profesional dikalangan peguam-peguam di daerah Temerloh ini.