Para Peguam Lega Dan Yakin Dengan Wakaf Pahang

JERANTUT, 2 OKTOBER 2023 – Satu perjumpaan telah diadakan dengan peguam-peguam Syarie dan Sivil di daerah Jerantut sempena Bengkel Melestarikan Pewakafan Pondok dan Maahad Tahfiz bagi daerah Jerantut pada hari Isnin yang lalu.

Dalam perjumpaan tersebut, seramai 8 orang peguam telah hadir bagi mendengar penerangan yang disampaikan oleh Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pengurus Besar Wakaf Pahang. Peguam-peguam tersebut adalah Pn Latifah bt Sheikh Hassan, Cik Fatin Nurmaisarah bt Zulkifli, En Norazman b Tambi Chek, En Muhammad Syafiq b Abdullah Zawawi, Pn Nurul Nahar bt Mat Saat, Pn Nurul Nahar bt Mat Saat, Pn Siti Noraini bt Yakub, Cik Nurul Suhaida bt Ahmad Bukhari dan Pn Hairiza bt Zakaria. Dato’ Haji Halidan telah menekankan bahawa kini Enakmen Wakaf Pahang 2022 telah diwartakan. Enakmen ini menjadi panduan bagi menyelesaikan dan menjelaskan pelbagai isu yang berkait dengan pewakafan tanah dan bangunan.

Sesi perbincangan bersama para peguam syarie dan sivil.


Antara perkara utama yang sedang dilakukan oleh Wakaf Pahang ialah menyelesaikan wakaf yang telah dibuat secara lisan mahupun bertulis tetapi tidak didaftarkan di pejabat tanah. Menurut Dato’ Haji Halidan, kini terdapat waris yang tidak mahu mendaftarkan tanah wakaf yang telah dibuat oleh Allahyarham bapa atau datuk mereka, sebaliknya tanah atau bangunan itu hendak difaraidkan di kalangan waris-waris yang ada dengan alasan tiada bukti atau rekod yang menunjukkan sesuatu tanah tersebut telah diwakafkan kerana tidak terdapat apa-apa rekod pada geran tanah. Ini menyebabkan wakaf mereka-mereka yang telah meninggal dunia terputus dan berakhir disebabkan tiada bukti kukuh tentang pewakafan tersebut.

Pada umumnya para peguam berasa lega dan penuh harapan bahawa urusan wakaf akan menjadi lebih mudah dengan adanya pendekatan baharu pengurusan wakaf di negeri Pahang pada masa ini. Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada perjumpaan tersebut, Wakaf Pahang akan mengadakan sesi sedemikian dengan pengamal-pengamal undang-undang di daerah yang lain pula, menurut Dato’ Haji Halidan.