Pasangan Suami Isteri Wakafkan Rumah Dan Tanah

PEKAN, 5 SEPTEMBER 2023 – Pasangan suami isteri, Encik Abu Bakar Bin Abdullah dan Puan Norhayati Binti Che Man, telah mewakafkan rumah dan tanah mereka melalui Wakaf Pahang MUIP untuk dimanfaatkan. Tindakan ini telah menarik perhatian ramai dan mendapat pujian masyarakat kampung sebagai contoh keprihatinan dan kecintaan terhadap amalan wakaf.

Rumah yang terletak di Kg.Paloh Hinai, Pekan satu ketika dahulu menjadi tempat beliau bekerja dan membesarkan anak-anak sebelum beliau berhijrah ke Kuala Lumpur. Namun, pasangan ini memutuskan untuk mengambil langkah berani dengan mewakafkan harta mereka sebagai bentuk amal jariah yang akan menjadi bekalan akhirat buat mereka.

“Kami merasa sangat bersyukur atas rezeki yang Allah kurniakan kepada kami. Kami memberi (wakaf) rumah ini, Allah jualah yang telah memberi rezeki selama ini kepada kami dan kami berharap tindakan ini dapat memberi manfaat kepada kami khususnya setelah kami pergi mengadap Allah.”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan tanah wakaf kepada Pegawai Wakaf Pahang Encik Mohd Farid Bin Mohd Ramly, di sini. Beliau berharap tanah yang diwakafkan kepada itu dapat digunakan untuk kebaikan umat Islam sejagat.

“Anak-anak pun semua menyokong hasrat saya untuk wakafkan rumah dan tanah ini, kita tak tahu bila akan mengadap Allah tapi sekurang-kurangnya kita bersedia dengan kematian. Sedekah jariahlah (wakaf) yang akan jadi saham buat kita di sana nanti “, katanya.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kerana sudi hadir bertemu beliau bagi memudahkan urusan pewakafan ini. Semoga tindakan baik pasangan ini menjadi inspirasi kepada yang lain untuk berwakaf.