Penyempurnaan Pewakafan Tanah Bagi Pembinaan Surau di Kerdau

KERDAU, 22 Mei 2024 – Wakaf Pahang berpeluang menyantuni dan menyempurnakan hasrat pewakafan tanah yang dilakukan oleh Puan Siti Normah Binti Salleh, penduduk dari Taman Sri Murni, Kerdau. Perjumpaan ini bertujuan untuk mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan komuniti melalui amalan wakaf.

Perjumpaan yang berlangsung di Taman Sri Murni, Kerdau itu menyaksikan kehadiran Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang, YBrs Dr. Mohd Syakir bin Mohd Taib, yang memberikan penghargaan kepada Puan Siti Normah atas sumbangan yang amat bermakna. Dalam kenyataannya, Dr. Mohd Syakir menegaskan pentingnya sumbangan wakaf dalam membawa impak positif kepada komuniti serta memberi manfaat yang berkekalan.

Puan Siti Normah Binti Salleh telah memilih untuk mewakafkan sebidang tanah miliknya bagi pembinaan surau di Taman Sri Murni. Beliau menyatakan niatnya untuk memastikan tanah tersebut dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat untuk tujuan yang baik dan berterusan. Beliau turut berharap bahawa surau yang akan dibangunkan akan memberi manfaat serta kemudahan kepada penduduk taman.

Perjumpaan ini turut dihiasi dengan sesi doa selamat yang dipimpin oleh Ust Fariduddin Saleh, Pegawai Dakwah Wakaf Pahang, sebagai tanda kesyukuran atas pewakafan yang telah dilaksanakan. Penduduk Taman Sri Murni yang hadir turut menunjukkan sokongan dan penghargaan mereka terhadap inisiatif Puan Siti Normah.

Harapan terbesar adalah agar pewakafan yang dilakukan oleh Puan Siti Normah dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai individu dan pihak untuk turut serta dalam amalan wakaf. Dengan sokongan dan penyertaan yang lebih meluas, wakaf dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat setempat.