Penyerahan Tanah Wakaf Seluas 2 Ekar di Raub

BENTONG, 14 MEI 2024 – Wakaf tanah semakin menjadi perhatian masyarakat di negeri Pahang dalam menyahut seruan amalan berwakaf.Salah seorang penduduk tempatan iaitu En Husri Bin Hassan hari ini telah menyerahkan 1 lot tanah seluas 2 ekar kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf.

Dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pejabat Akademi Al Abrar,Bentong , beliau telah menyerahkan borang wakaf tanah kepada wakil dari Wakaf Pahang MUIP Encik Mohd Farid Bin Mohd Ramly, Ketua Bahagian Pemasaran & Dakwah Wakaf Pahang. Penyerahan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan pembangunan wakaf di negeri Pahang.

Menurut En Husri, beliau bersyukur dapat menyumbang kepada kebajikan umat Islam dengan mewakafkan tanah ini kepada MUIP. Beliau yakin tanah ini akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan umum, serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Encik Mohd Farid menyambut baik penyerahan tanah wakaf ini dengan tangan terbuka. Beliau mengucapkan terima kasih kepada En Hasri atas keperihatinan dan kebaikan hatinya dalam mewakafkan tanah tersebut. Menurutnya lagi, penyerahan wakaf tanah ini adalah satu contoh yang baik bagaimana masyarakat dapat bersama-sama memperkukuhkan institusi&pembangunan wakaf untuk kebaikan bersama.

Tanah wakaf yang baru diserahkan ini dijangka akan memberi pelbagai faedah kepada masyarakat setempat, terutamanya dalam bidang keagamaan, pendidikan, dan sosial. Ini sekali gus mengukuhkan peranan MUIP dan Wakaf Pahang dalam memajukan agenda kesejahteraan umat Islam di Pahang.

MUIP dan Wakaf Pahang berharap penyerahan tanah wakaf ini akan memberi dorongan kepada lebih ramai individu untuk turut serta dalam usaha memperkukuhkan pembangunan wakaf, demi kebaikan bersama dan keberkatan ummah.