Kuantan, 16 Januari 2025 – Satu perjumpaan khas antara pihak Wakaf Pahang dan barisan imam-imam masjid daerah Negeri Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini. Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan pengurusan dan pelaksanaan Tabung Wakaf Masjid (TWM) di seluruh negeri.
Majlis ini telah dihadiri oleh beberapa tokoh penting dalam institusi keagamaan negeri, termasuk Tuan Haji Mohd Rizzal bin Mohd Ali Nafiah, Imam Besar Masjid Negeri, serta YBhg Tuan Rizal bin Mustafa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang. Selain itu, taklimat utama telah disampaikan oleh YBhg Dr Mohd Syakir bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Pengurus Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
![](https://wakafpahang.my/storage/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-12-at-3.19.12-PM-1.jpeg)
Dalam sesi taklimat, Dr Mohd Syakir menerangkan dengan terperinci mengenai pengurusan Tabung Wakaf Pahang (TWM) serta kepentingannya dalam memperkukuhkan pembangunan institusi masjid. Pihak masjid turut diberi ruang untuk mengutarakan pandangan mereka berkaitan pengurusan serta pelaksanaan TWM bagi memastikan keberkesanannya dalam membantu masyarakat dan pembangunan ummah.
Perjumpaan ini diharap dapat memberikan pencerahan serta memperkasakan peranan masjid dalam pengurusan dana wakaf bagi manfaat umat Islam di negeri Pahang. Kerjasama erat antara pihak Wakaf Pahang dan institusi masjid dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam memastikan keberlanjutan inisiatif wakaf demi kesejahteraan bersama.