KUANTAN, 1 MAC 2024 – Pahang Skills Kuantan melancarkan Program Ihya Ramadhan yang diisi dengan bicara wakaf. Pengurus Besar Wakaf Pahang, Dato’ Hj Halidan Md Daud, telah dijemput sebagai tetamu kehormat untuk melancarkan program tersebut. Dalam ucapan pelancarannya, Dato’ Hj Halidan memperkenalkan kaedah berwakaf melalui potongan gaji kepada warga kerja Pahang Skills.
Kaedah yang amat memudahkan ini membolehkan Pahang Skills memohon dana dari Tabung Wakaf untuk membeli pelbagai peralatan yang diperlukan bagi manfaat para pelajar di institusi tersebut. Langkah ini bertujuan untuk memperkukuhkan kemudahan pendidikan dan latihan yang disediakan oleh Pahang Skills, sambil turut memperkenalkan budaya wakaf kepada komuniti pendidikan.
Sebelum pelancaran, Pengarah Eksekutif Pahang Skills, En. Mohd Yusri Mohd Nor, telah mengajak warga Pahang Skills untuk memberi perhatian kepada peranan serta manfaat yang dibawa oleh Wakaf Pahang. Beliau menegaskan kepentingan bagi semua pihak untuk memahami dan mengambil manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan melalui perkongsian ini disamping menjadikan berwakaf sebagai salah satu pengisian penting dalam bulan Ramadhan yang mendatang.
Inisiatif ini mencerminkan semangat kerjasama antara sektor pendidikan dan wakaf dalam usaha memperkukuhkan infrastruktur pendidikan dan memberi peluang yang lebih baik kepada generasi muda Pahang untuk berkembang secara holistik.