Pimpinan Rancangan Felda Jengka Sambut Baik Usaha Wakaf Pahang

BANDAR JENGKA, 18 OKTOBER 2023 – Penerangan kepada kepimpinan rancangan Felda dalam gugusan Jengka sempena Jelajah Wakaf Dato Dr Hasan bin Mohd Ali telah memberikan pendedahan yang sangat bermakna kepada  kira-kira 60 orang peserta yang hadir. Kepimpinan rancangan Felda yang terdiri dari ketua-ketua peneroka, pengerusi-pengerusi masjid serta badan dakwah disekitar bandar Jengka telah mendapat pendedahan mengenai pengurusan Wakaf di negeri Pahang yang telah disampaikan sendiri oleh Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang.

Kini Wakaf Pahang menyediakan pelbagai kemudahan bagi memastikan masyarakat dapat berwakaf dengan mudah samada untuk berwakaf secara tunai, potongan gaji mahupun untuk mewakafkan tanah atau bangunan.

Terdapat juga keadaan di mana sesuatu tanah dikatakan telah diwakafkan namun tiada dalam daftar Wakaf Pahang. Pihak Wakaf Pahang akan membantu untuk mendaftar tanah tersebut sebagai wakaf, walaupun ianya telah lama tidak diuruskan.

Dato Dr Hasan bin Mohd Ali pula telah menerangkan betapa beliau akan bersama membangunkan sekeping tanah wakaf di kampung Lebu, Bentong seluas 7 ekar untuk dijadikan sebuah pusat ilmu dan kebajikan yang dinamakan Anjung Husnul Khotimah.

Projek ini akan menjadi salah satu mercu tanda dalam usaha membangunkan tanah wakaf di negeri Pahang.