Seminar Pengurusan Kewangan sempena Karnival Sunnah RTM

KUANTAN, 24 APRIL 2024 – Program Seminar Pengurusan Kewangan yang telah diadakan di Dewan Penyiaran RTM Kuantan anjuran PKZ Pahang dengan Kerjasama RTM Pahang. Seminar yang bertajuk ‘Membina Mahligai Syurga’ disampaikan oleh Encik Mohd Farid Bin Mohd Ramly, Ketua Bahagian Pemasaran & Dakwah Wakaf Pahang. Seminar ini bertujuan untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada masyarakat mengenai aspek-aspek penting dalam pengurusan kewangan dalam Islam.

Dalam seminar yang dihadiri oleh 130 orang peserta dari pelbagai jabatan Kerajaan dan swasta, Encik Mohd Farid memberikan penerangan yang komprehensif mengenai strategi pengurusan kewangan yang berkesan. Beliau menekankan pentingnya perancangan kewangan yang teliti untuk mencapai kestabilan dan kemakmuran kewangan dalam kehidupan. Beliau juga menekankan kepada konsep penyucian harta melalui intrumen wakaf tunai.

Menurut beliau lagi, masyarakat hari ini perlu melihat wakaf dari dimensi yang luas kerana ianya bukan sahaja membantu pembangunan ekonomi Islam bahkan ianya selari dengan konsep sedekah jariah yang dijamin pahalanya walaupun telah meninggal dunia. Dengan dana wakaf yang banyak,ianya akan dapat membantu Wakaf Pahang dalam membangunkan sosioekonomi umat Islam di negeri Pahang yang melibatkan keagamaan,Kesihatan,Pendidikan,soaial dan ekonomi.

Selain itu, dalam sesi dialog interaktif, peserta seminar berpeluang bertanyakan soalan dan berkongsi pengalaman dengan Encik Mohd Farid. Ini memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pandangan berkaitan wakaf.

Seminar tersebut dilihat sebagai satu inisiatif yang amat berguna dalam membantu masyarakat memahami asas-asas kewangan yang penting untuk mencapai kestabilan kewangan dalam kehidupan mereka. Diharapkan, melalui seminar-seminar seperti ini, kesedaran mengenai pentingnya pengurusan kewangan dapat ditingkatkan dan membantu masyarakat secara keseluruhan mencapai kestabilan kewangan yang lebih baik dengan menjadikan amalan berwakaf sebagai salah satu cabang dalam pengagihan kewangan .