[Jelajah DDHA] Taklimat Bersama PAID Bentong

BENTONG, 19 FEBRUARI 2024 – Wakaf Pahang MUIP telah mengadakan program Taklimat Wakaf kepada Kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah Bentong . Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan pemahaman kakitangan terhadap konsep wakaf dan pentingnya peranan wakaf dalam pembangunan masyarakat.

Dalam taklimat tersebut, Pegawai Wakaf Pahang,Encik Mohd Farid Bin Mohd Ramly memberikan penerangan mendalam mengenai prinsip-prinsip asas wakaf, cara-cara pengurusan harta wakaf, dan impak positif yang boleh diperoleh melalui pelaksanaan program wakaf. Turut disentuh ialah aspek hukum dan syarat-syarat wakaf yang perlu dipatuhi.

Selain itu, kakitangan pejabat agama Islam juga diberikan peluang untuk bertanya soalan dan berinteraksi secara langsung dengan Pegawai Wakaf Pahang, membolehkan mereka mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci mengenai aspek-aspek tertentu berkaitan wakaf.

Turut bersama dalam taklimat ini Al-Fadhil Qadhi Daerah Bentong,Tuan Hj Ahmad Zaharudin Bin Mohd Alias.Menurut beliau,Program taklimat ini dilihat sebagai langkah penting dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap wakaf di kalangan kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah Bentong.

Antara isu yang diberi tumpuan adalah langkah-langkah praktikal yang boleh diambil oleh individu untuk menyumbang kepada amalan wakaf, sekaligus meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program wakaf di peringkat daerah. Kakitangan digalaakkan untuk terlibat secara aktif dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial dan ekonomi melalui wakaf tunai secara potongan gaji bulanan.

Diharapkan, dengan peningkatan pemahaman dan kesedaran melalui taklimat ini, kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah Bentong dapat berperanan secara lebih efektif dalam menggalakkan masyarakat untuk terlibat dalam amalan wakaf.

Semua pihak yang terlibat dalam program ini memberikan sokongan positif dan menyambut baik inisiatif Wakaf Pahang MUIP. Program Taklimat Wakaf bukan sahaja memberi manfaat kepada kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah Bentong, malah diharap dapat membina asas yang kukuh dalam memahami, mengamalkan, dan menyebarkan nilai-nilai wakaf di kalangan masyarakat setempat.