Taklimat Melestarikan Pewakafan Hartanah kepada Pondok dan Maahad Tahfiz di Daerah Jerantut

JERANTUT, 2 OKTOBER 2023 – Taklimat Melestarikan Pewakafan Hartanah kepada Pondok dan Maahad Tahfiz bagi daerah Jerantut telah berlangsung dengan jayanya pada hari ini melibatkan lebih 15 pengusaha pondok dan maahad tahfiz dari sekitar daerah Jerantut. Taklimat yang disampaikan oleh Ybhg. Dato’ Haji Halidan bin Hj Daud, Pengurus Besar Kanan Zakat dan Wakaf Pahang telah menekankan bahawa kini Enakmen Wakaf Pahang 2022 telah diwartakan. Enakmen ini akan menjadi rujukan dan panduan bagi menyelesaikan serta merungkaikan pelbagai isu berkait dengan pewakafan tanah dan bangunan yang dihadapi oleh institusi pondok dan maahad tahfiz.

Wakaf Pahang dalam siri jelajah wakaf ke setiap daerah bagi memberi kesedaran dan kefahaman betapa pentingnya untuk menyelesaikan isu wakaf yang telah lama dibuat secara lisan mahupun bertulis namun belum didaftarkan dan dibuat peletakhakkan kepada Majlis Ugama Dan Adat Resam Melayu pahang (MUIP) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di negeri Pahang. Akibat dari itu setelah berlalu beberapa generasi, kini terdapat waris yang tidak mahu mendaftarkan tanah wakaf yang telah dibuat oleh Allahyarham bapa, datuk atau moyang mereka, sebaliknya tanah atau bangunan itu hendak di tuntut oleh ahli waris dan difaraidkan dikalangan waris-waris yang ada dengan alasan tiada bukti atau rekod yang menunjukkan sesuatu tanah tersebut telah diwakafkan kerana tidak terdapat apa-apa rekod pada geran tanah. Ini menyebabkan wakaf mereka-mereka yang telah meninggal dunia terputus dan berakhir disebabkan tiada bukti kukuh tentang pewakafan tersebut.

Pada akhir taklimat semua pengusaha pondok dan maahad tahfiz berasa lega dan penuh harapan bahawa urusan wakaf akan menjadi lebih mudah dengan adanya pendekatan baharu pengurusan wakaf di negeri Pahang pada masa ini melalui pemberian kuasa atau melantik pengusaha pondok, maahad tahfiz atau institusi sebagai Mutawalli berdasarkan peruntukan yang ada dalam enekmen wakaf Pahang.