Taklimat Pemerkasaan Zakat Pendapatan Dan Wakaf Penjawat Awam Daerah Maran

Maran, 17 Oktober 2024 – Satu taklimat penting berkaitan Pemerkasaan Zakat Pendapatan dan Wakaf Penjawat Awam Negeri Pahang telah diadakan di Dewan Auditorium, Pejabat Agama Islam Daerah Maran hari ini. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan penjawat awam tentang kepentingan zakat pendapatan serta potensi wakaf dalam membangunkan ekonomi umat Islam di negeri ini.

Taklimat tersebut dihadiri oleh penjawat awam daripada pelbagai jabatan di sekitar daerah Maran. Para peserta diberikan penerangan terperinci mengenai kaedah pengiraan zakat pendapatan, kelebihannya, serta bagaimana wakaf dapat dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat. Penceramah turut menekankan betapa pentingnya zakat dan wakaf sebagai instrumen kewangan Islam dalam membantu golongan yang memerlukan serta menyumbang kepada pembangunan kesihatan, sosial, ekonomi, pendidikan, dan keagamaan.

Di akhir sesi, hadirin diingatkan agar sentiasa menyedari tanggungjawab sebagai penjawat awam dalam melaksanakan zakat pendapatan dan menyokong wakaf sebagai salah satu amalan yang boleh memperkukuhkan kestabilan ekonomi dan kebajikan ummah. Semoga usaha ini diberkati dan dilimpahkan rezeki yang melimpah serta dirahmati Allah SWT.