Bera, 29 Oktober 2024 – Dewan Cemerlang Majlis Daerah Bera menjadi tuan rumah bagi Taklimat Pemerkasaan Zakat Pendapatan dan Wakaf khusus untuk penjawat awam Negeri Pahang. Sesi taklimat ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya zakat dan wakaf dalam memperkukuh ekonomi umat Islam, serta menyampaikan maklumat mengenai manfaat kedua-dua amalan tersebut dalam konteks sosial.

Penjawat awam dari pelbagai latar belakang diberi penerangan menyeluruh mengenai cara pengiraan zakat pendapatan, disertakan dengan contoh praktikal untuk membantu mereka memahami konsep pengiraan yang tepat. Sesi ini juga merangkumi perbincangan tentang potensi wakaf dalam menyokong lima sektor utama seperti keagamaan, kesihatan, pendidikan, ekonomi dan sosial.
Sebagai penutup, para peserta digalakkan supaya terus melibatkan diri secara aktif dalam amalan zakat dan wakaf, memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan kesejahteraan diri dan masyarakat. Semoga usaha ini diberkati dan menjadi sebahagian daripada sumbangan penting dalam membina masa depan yang lebih sejahtera buat komuniti di seluruh Pahang.