TAKLIMAT PENGURUSAN WAKAF PAHANG DI SK KAMPUNG PADANG

Kuantan, 10 Februari 2025 – Sekolah Kebangsaan Kampung Padang telah menjadi tuan rumah bagi sesi taklimat khas mengenai pengurusan Wakaf Pahang yang dianjurkan oleh Wakaf Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Taklimat ini telah disampaikan oleh Pegawai Wakaf Pahang, Ustaz Muhammad Fariduddin bin Mohd Salleh, dengan kehadiran para guru serta kakitangan sekolah.

Dalam taklimat tersebut, Ustaz Muhammad Fariduddin telah menerangkan konsep wakaf dan kepentingannya dalam kehidupan masyarakat Islam. Beliau menekankan bahawa wakaf merupakan satu bentuk amal jariah yang memberikan pahala berterusan kepada pewakaf, selagi mana manfaatnya dapat dinikmati oleh penerima. Selain itu, beliau turut menerangkan proses pengurusan serta perkembangan terkini berkaitan Wakaf Pahang yang dikendalikan oleh MUIP.

Menurut beliau, masyarakat perlu lebih peka terhadap peluang berwakaf yang bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah kepada komuniti secara keseluruhan. Beliau turut menggalakkan guru-guru dan warga sekolah untuk menyebarkan kesedaran mengenai wakaf kepada murid-murid agar mereka dapat memahami kepentingan konsep ini sejak usia muda.

Para hadirin memberikan sambutan yang amat positif terhadap sesi taklimat ini. Mereka turut mengajukan pelbagai soalan berkaitan prosedur berwakaf dan kepentingan penyertaan dalam program wakaf yang disediakan oleh MUIP.

Taklimat ini diakhiri dengan sesi perbincangan interaktif . Diharapkan taklimat ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wakaf dalam pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam.