Taklimat Wakaf Bantu Tingkatkan Pemahaman Kakitangan SUK Negeri Pahang

KUANTAN, 21 DISEMBER 2023 – Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) SUK Pahang dengan kerjasama Wakaf Pahang MUIP telah mengadakan taklimat khusus yang dihadiri oleh penjawat awam negeri Pahang bertujuan untuk memberi pemahaman mendalam mengenai program wakaf dan peranannya dalam pembangunan masyarakat. Taklimat yang diadakan di Dewan Blok C SUK Pahang, Kuantan ini melibatkan lebih daripada 150 penjawat awam dari pelbagai unit dan bahagian di bawah pejabat SUK negeri.

Turut dihadiri, YH Dato’ Hj Abd Zaki, Timbalan Pengarah JAIP yang sempat memberikan sedikit tazkirah ringkas dalam membuka minda hadirin berkaitan apa itu wakaf. Beliau berkata, wakaf ini bukan sekadar amalan sedekah biasa tetapi ia merupakan satu amalan sunat yang dituntut dan pahalanya berkekalan sehingga akhirat kelak. Pembentangan dan perkongsian diteruskan oleh YH Dato’ Hj Halidan Md Daud berkaitan pengurusan wakaf secara mendalam merangkumi strategi, dasar, dan pelaksanaan program wakaf di negeri ini.

Sekitar taklimat wakaf berlangsung

“Kolaborasi antara sektor awam dan pihak berkepentingan lain amat penting dalam memperkasakan inisiatif wakaf bagi manfaat masyarakat setempat”, katanya. Beliau turut menyoroti kepentingan pengetahuan yang luas mengenai wakaf dalam usaha membangunkan ekonomi komuniti serta menyokong golongan yang memerlukan bantuan.

Taklimat ini memberi penekanan kepada tatacara pengurusan harta wakaf. Pelbagai bentuk wakaf yang boleh memberi impak positif dalam bidang pendidikan, kesihatan, dan kesejahteraan sosial, serta cara untuk memperluaskan pemahaman tentang potensi wakaf di kalangan masyarakat.

Para peserta yang hadir turut diberi peluang untuk berinteraksi dan bertanyakan soalan kepada beliau, menjadikan taklimat ini sebagai platform yang berharga untuk mendapatkan pengetahuan mendalam mengenai wakaf. Taklimat ini diharapkan akan menjadi titik permulaan bagi lebih banyak kerjasama antara pihak berkepentingan dalam membangunkan inisiatif wakaf yang berkesan dan berkekalan di seluruh Pahang.