Kuantan, 4 September 2024 – Wakaf Pahang telah mengadakan satu taklimat berkaitan wakaf di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Astana. Taklimat ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada kakitangan dan guru di institusi tersebut mengenai kepentingan dan manfaat wakaf dalam membangunkan ummah. Ustaz Muhammad Fariduddin Bin Mohd Salleh dari Unit Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang sebagai penceramah untuk menjelaskan topik tersebut.
Dalam sesi taklimat, Ustaz Muhammad Fariduddin mengupas sejarah dan keberkesanan wakaf dari zaman dahulu hingga ke hari ini. Beliau turut menekankan bagaimana wakaf telah menyumbang kepada pembinaan institusi pendidikan, masjid, serta projek-projek kebajikan yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat. Keberkesanan wakaf sebagai instrumen ekonomi Islam yang dapat membangunkan kemajuan ummah juga disentuh secara mendalam.

Selain itu, taklimat ini turut memberi penjelasan tentang cara-cara menyertai wakaf melalui pelbagai saluran yang disediakan oleh Wakaf Pahang. Salah satu kaedah yang ditekankan adalah melalui potongan gaji, di mana para kakitangan boleh menyumbang secara tetap untuk projek-projek wakaf yang sedang dijalankan. Inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk berpartisipasi dalam pembangunan wakaf secara berterusan.
Program ini diakhiri dengan sesi soal jawab, di mana para kakitangan diberikan peluang untuk bertanya mengenai pelbagai aspek wakaf. Sambutan yang positif daripada para guru dan kakitangan menunjukkan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan wakaf sebagai satu bentuk amal jariah yang mampu memberi kesan besar kepada pembangunan masyarakat, pendidikan, dan agama.